DAERAH KINABATANGAN
Daerah Kinabatangan terletak di kawasan pantai timur Sabah , negeri di bawah bayu. Dengan keluasan lebih 600 ribu hektar, ia merupakan daerah terbesar di Malaysia menyamai keluasan negeri Pahang di Semenanjung Malaysia. Kedudukannya yang strategik di laluan perdagangan laut timur dan barat silam menjadikannya singgahan kerajaan-kerajaan awal di tanah besar asia.
Adalah dipercayai bahawa Laksamana Cheng Ho pernah menyusuri sungai Kinabatangan pada awal kurun ke 15, untuk memperolehi sarang burung yang mudah ditemui di Kinabatangan. Mengikut sumber “Buku Sejarah Tanah Air’ pula Kinabatangan pernah dikunjungi kerabat Maharaja China pada awal kurun ke 16. Beberapa tempat seperti Sukau, Bilit dan Mumiang dikatakan berasal dari Bahasa Cina.
Legenda Kinabatangan menyebut tentang sekumpulan orang Cina yang menyusuri kuala sungai menggunakan batang-batang kayu balak. Kosa kata ‘Cina’dan ‘Batang’ ini telah mencetuskan sebutan ‘Cinabatangan’ yang merupakan nama asal daerah ini. Syarikat Berpiagam Borneo Utara telah menggantikan sebutan ini kepada Kinabatangan.
Sungai Kinabatangan yang mengalir sepanjang 560 km merupakan sungai yang terpanjang di Sabah. Sungai ini menjadi sumber rezeki utama suku kaum Sungai, suku kaum majoriti di daerah ini. Mereka turut mengenali Kinabatangan sebagai ’Tawoi Marato’ yang bermaksud ‘sungai yang panjang’ dalam bahasa Idahan. Kaum Dusun yang tinggal di Ulu Kinabatangan mengenali Sungai Kinabatangan sebagai ’Sungai Millian’.
Daerah Kinabatangan telah menyaksikan pelbagai perubahan dalam sejarah kewujudannya. Menurut sumber tertentu, Kuala Kinabatangan mula berkembang selepas diduduki oleh kaum Sungai, Suluk dan Simunol sebelum 1881. Syarikat Berpiagam Borneo Utara secara rasminya menjadikan Kinabatangan sebagai daerah pentadbiran pada 1905. Pusat pentadbiran pada ketika itu adalah di Lamag. Pemindahan pusat pentadbiran ini ke Bukit Garam dan akhirnya ke pekan Kota Kinabatangan berlaku ekoran banjir yang sering melanda.
Pendudukan tentera Jepun sekitar tahun 1943 hingga 1945 menyaksikan perjuangan penentangan Sheikh Mutanna, seorang pedagang Arab yang bermastautin di Kuala Tongod. Beliau yang berketurunan Arab telah mengahwini wanita suku kaum Sungai .
Pekan Kota Kinabatangan yang merupakan pusat pentadbiran daerah ini terletak di kawasan strategik berhampiran jalan raya utama yang menghubungi pantai timur dan barat Sabah. Pada masa ini, Kota Kinabatangan masih bergantung kepada daerah Sandakan dan Lahad Datu untuk keperluan sosio ekonomi dan sebagainya. Daerah Kinabatangan, kini dihuni oleh lebih 80 000 orang penduduk
Peruntukan beratus-ratus juta ringgit telah dan akan diagihkan ke Kinabatangan dalam Rancangan Malaysia ke 8 dan ke 9. Tumpuan utama diberikan dalam membangunkan kemudahan infrastruktur yang sedia ada bagi memangkin pengeluaran hasil kelapa sawit. Kawasan seluas 345 000 hektar iaitu lebih separuh keluasan daerah, kini dilitupi tanaman kelapa sawit. Kelapa sawit merupakan hasil ekonomi utama daerah ini.
Kota Kinabatangan bakal menjadi kawasan tumpuan petempatan dan ekonomi utama daerah. Tanah-tanah sekitarnya telahpun diperuntukkan untuk pembinaan infrastruktur seperti Balai Bomba, perkembangan hospital, kawasan perumahan terancang, masjid daerah dan Taman Hutan Simpan yang dirancang di tengah-tengah pekan. Usaha pembangunan ini sedang giat dijalankan.
Aspek perhutanan dan alam semulajadi sama sekali tidak dilupakan. Kemajuan sektor pelancongan menarik minat dan keprihatinan penduduk dalam memelihara alam semulajadi dan keaslian yang sedia ada. Terdapat juga projek-projek ’homestay’ yang membabitkan masyarakat setempat. Kemasukan pelancong asing dan buruh asing semakin berkembang sejajar dengan kepesatan pembangunan Malaysia.
Syarikat-syarikat besar kelapa sawit telahpun mula menjalankan usaha pemulihan kawasan tadahan air yang musnah dalam penerokaan hutan untuk dijadikan ladang-ladang. Kinabatangan kini, mengorak langkah ke arah kemajuan yang lebih terancang.
MAKLUMAT KAMPUNG BATU PUTIH
Kampung Batu Putih merupakan sebuah kampung yang tertua di Mukim Batu Puteh dan mula diterokai pada tahun 1956. Ianya terletak di daerah Kinabatangan iaitu berada di kawasan pantai timur Sabah. Jarak batu Putih dari pekan Kota Kinabatangan ialah 30km. Kemudahan jalan utama adalah Sandakan dan Lahad Datu. Kemudahan perhubungan jalan raya adalah seperti Bas, Teksi Mini Bas dan lain-lain manakala Jalan sungai mengunakan perahu/bot dan juga kapal. Ada tiga kampung rangkaian bagi Kampung Batu Putih iaitu Kampung Sentosa Jaya, Kampung Perpaduan Datuk Ugi dan Kampung Mengaris. Manakala keluasan kampung Batu Putih pula adalah seluas 2185 ekar.
Nama Kampung |
Kampung Batu Puteh |
Negeri |
Sabah |
Daerah |
Kinabatangan |
Mukim |
Batu Puteh |
Ahli Parlimen |
YB. Datuk Seri Panglima Bung Mokhtar Radin |
Dewan Undangan Negeri |
YB. Datuk Jefry Bin Ariffin |
Pegawai Daerah |
Tuan Abd Manap Bin Ruhim |
Ketua Kampung |
En. Ali Osman Bin Abd Mutalib |
MPKK Kampung |
– |
Keluasan Tanah Kampung |
2,185 ekar |
Suku Kaum |
Sungai, Melayu, Bugis, Suluk dan lain-lain |
Sumber Pendapatan |
Petani, Nelayan, Homestay,Koperasi, Kakitangan awam & Swasta |
MOTO : Aman Makmur Sejahtera
- Menjadikan masyarakat kampung hidup bersatu padu
- Menjadikan kampung maju dari segi ekonomi dan sosial
- Memupuk kehidupan yang bahagia di kalangan masyarakat kampung
VISI
- Menjadikan Kampung Batu Puteh sebagai kampung contoh dengan pengurusan yang telus & kemajuan berterusan menjelang 2020
MISI
- Memastikan semua penduduk Mukim Batu Puteh bersatu padu dan bertoleransi
Info Penduduk
Populasi penduduk :
- Bilangan penduduk 1025 orang
- Bilangan penduduk lelaki 475 orang
- Bilangan penduduk perempuan 550 orang
Suku Kaum :
- Sungai 688 orang
- Melayu 25 orang
- Lain-lain 312 orang